TuneList - Make your site Live

Surat buat adikku, masihku ingat.

on Sunday, 22 January 2012
Dalam meniti kedewasaan ini , banyak onak duri yang harus dilalui. Namun satu perkara harus diyakini , perjalanan hidup ini banyak perkara yang perlu diinsafi , usah sekali-kali dikesali.
           Buat adikku , itulah kata-kata yang ku jadikan azimat sebagai peneman perjalananku semasa usiaku meningkat remaja sepertimu sekarang.
           Adikku , jika ku selak kembali memori lama , tiada nostalgia manis yang boleh ku kutip , dan ku susun dalam lipatan hidupku ini. Semua kenangan yang ada hanyalah penuh dengan kesedihan dan kedukaan. Apapun , aku tetap bersyukur dengan takdirku.
           Adikku , masihku ingat……..
           Kenangan indah semasa kecilku hampir hancur lantaran perpisahan kedua ibubapa ku. Harapanku untuk menjadi doktor hanya tinggal khayalan sahaja. Hidupku terumbang-ambing mengharapkan belas ihsan nenek tuaku yang hidup hanya bersumberkan wang kebajikan masyarakat yang tidak ku tahu nilainya. Sesekali ayahku datang menjengukku dan menghulurkan sedikit wang kepada nenekku , terlalu sedikit ……….
            Adikku , masihku ingat………
            Di wajah nenek tuaku sentiasa tergambar senyuman , padahal hakikatnya beliau menyimpan kesedihan melihatku membesar tanpa kasih sayang daripada orang yang dipanggil ibu dan ayah. Tak dapat ku bayangkan kesedihan nenek tuaku apabila tidak dapat memenuhi permintaanku. Maafkan aku nek. Kini kau telah berada di alam barzah , semoga rohmu sentiasa dirahmati-Nya.
            Adikku , masihku ingat lagi……..
            Semasa aku di tingkatan satu , aku telah berazam untuk belajar bersungguh-sungguh kerana ingin membantu nenekku setelah aku Berjaya. Tapi , kemiskinan dan kesusahan hidupku telah membantutkan cita-citaku , aku rasa terlalu hina berbanding dengan kawan-kawan disekelilingku. Kerap kali aku tidak ke sekolah kerana aku tidak ada wang untuk membayar tambang bas. Aku hanya mentelaah pelajaran di rumah ditemani nenek tuaku. Katanya , tanpa pelajaran aku akan mewarisi kemiskinannya.
            Adikku , masihku ingat lagi , (bukan sebagai dendam)…….
            Aku pernah dimarahi oleh guruku sebab tidak hadir ke sekolah. Pelbagai kata ‘nasihat’ dihamburkan kepadaku. Bagaimana hendak ku amalkan ‘nasihat’ guruku itu sedangkan aku baru di menengah rendah ? . Bukannya aku sengaja tidak ke sekolah. Dalam hati , aku merayu , fahamilah kemiskinanku ini , aku tiada ayah , aku tiada ibu , yang ada hanyalah seorang nenek tua. Cikgu , tahukah cikgu , selama dua hari perut ini hanya kenyang dengan air paip ? Tidak tahukah cikgu dengan situasi ku ini ? Bukankah telah ku nyatakan semasa cikgu bertanya berkenaan pekerjaan penjaga ? Apa lagi yang harusku terangkan padamu cikgu ? Masih segar lagi dalam minda ini , ‘nasihat’ yang diberi itu diiringi dengan rotan yang hinggap dipunggungku sebagai hadiah kerana tidak hadir ke sekolah. Hanya senyumanlah yang mampuku ukir mengiringi amanah cikgu ku itu. ‘ Untukku menangis , akan adakah simpatimu padda anak miskin ini ? ‘ Itulah persoalan dimindaku. Senyumanlah yang menjadi penawar kesakitanku. Senyumlah wahai diri.
          
           Adikku , masihku ingat…….
Pernah suatu hari aku telah dipanggil ke bilik guru kerana tidak menyiapkan kerja rumah yang diberi. Aku telah dicubit serta diperlekehkan oleh guru-guru di sana. Mereka marah kerana aku hanya senyum setiap kali dimarahi. Sebenarnya aku amat malu , bagaimana harus aku sembunyikan rasa malu itu ? Senyumlah yang menjadi penawarku , tapi senyumku telah disalah ertikan.
           Sebenarnya dik , aku tidak mempunyai pensel warna dan telah mewarnakan latihan yang diberikan dengan pensel sahaja.
           Adikku , masihku ingat lagi……..
           Aku sentiasa mentelaah pelajaran di perpustakaan lantaran ketidakupayaanku membeli buku-buku rujukan. Keadaan ini berlarutan sehingga ku berada di tingkatan lima. Bila bersama buku di perpustakaan , aku akan lupa kepada perkataan ‘lapar’. Pernah juga , ku coretkn warkah buat guru-guruku yang pernah memarahi dan merotanku. Aku merayu pada guru untuk memahami dan menyelami penderitaanku. Aku bagaikan anak yatim piatu , ayahku tidak pernah balik lagi , nenek pula sentiasa sakit , berilah dorongan pada anak didikmu ini agar menjadi azimat bagiku untuk berjaya dan membaiki kemiskinanku. Tolong aku cikgu. Tapi surat ini akhirnya menjadi bola dan aku lantunkan kedalam tong sampah.
           Adikku , masih segar dalam ingatan ini………
           Satu wajah milik seorang guru yang amat prihatin padaku. Tanpa ku sedari , guru ini telah menyiasat latar belakangku. Guru inilah yang banyak memberikan dorongan semasa aku di alam persekolahan terutamanya semasa aku di tingkatan lima. Wajah tenang inilah yang ku rindui setiap hari. Dialah guru pertama yang mengusap belakangku , bertanya khabar tentangku dan pembakar semangatku. Katanya “Kemiskinan bukanlah penghalang kejayaan malah sepatutnya menjadi pendorong kearah kejayaan”. Sejak mengenali guru ini semasa di tingkatan tiga lagi , beliau telah ku anggap sebagai “ibu”ku. Sesekali aku diberikan wang belanja sekolah , dibelikan kasut sekolah dan bermacam kebaikan lagi.
           Adikku ,
           Kini aku telah berjaya dalam hidup , aku telah berjaya melanjutkan pelajaranku ke universiti dan menyambung pelajaranku ke peringkat yang lebih tinggi di luar Negara. Kini aku bergelar Dr. Helmi Ikmal , pakar bedah di hospital di bandar.
           Adikku ,
           Kini aku menyesal kerana kurang menyukai guru-guru yang sentiasa marah padaku. Selepas melewati alam remaja , ku sedari pendekatan guru terhadap anak didiknya berbeza kerana manusia mempunyai perwatakan yang berbeza. Sepatutnya sekalung ucapan terima kasih harus kuberikan buat semua guru-guruku dan teristimewanya “ibu”ku. Disebabkan merekalah , aku menjadi “aku “ sekarang ini. Ingatlah , marah seorang guru tandanya sayang. Jangan biarkan sampai guru tidak memarahi kita.
           Adikku ,
          Ingatlah pesanan abang ini , jangan sekali-kali rasa malu atau rendah diri kerana kemiskinan , kemiskinan boleh diubah oleh kita sendiri , kita yang menentukan siapa ‘kita’. Tapi adik harus malu seandainya adik jauh dari mengingati-Nya. Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Ilmulah cahaya kehidupan , tanpanya akan terumbang-ambinglah hidup ini.

Sekian.

0 comments:

Post a Comment